Tuesday, 12 June 2012

TIPS Awal Sebelum Bertudung Labuh.



Bismillahirrahmanirrahim.

"...Allah memimpin sesiapa yang dikehendakiNya kepada nur hidayahNya itu...." [surah 24; an-Nur; ayat 35]

"Demi sesungguhnya, Kami telah menurunkan ayat-ayat yang menerangkan (hakikat kebenaran dengan berbagai dalil dan bukti); dan Allah memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya ke jalan yang lurus." [surah 24; an-Nur; ayat 46]


Saya percaya... ramai sahabat-sahabat, adik-adik mahupun kakak-kakak diluar sana yang hatinya telah lunak & lembut disapa bayu Hidayah Allah swt.

Hidayah ini menyapa tanpa disedari melembutkan hati untuk merapatkan diri kepada Ilahi. Hati terasa teruja melakukan kebaikan, langkah laju diatur ke denai-denai majlis Ilmu, bibir pula tak henti melafazkan zikrullah mahupun doa agar Allah menguatkan hati untuk terus ada di jalan yang benar ini.

Apabila meneliti keadaan penampilan diri yang agar tidak sempurna penutupan auratnya, hati tiba-tiba terasa malu kepada Allah. Mengenangkan kejahilan diri melanggar perintah & garis panduan yang telah ditetapkannya.

Namun, di saat diri mahu berubah. Di celah-celah semangat itu dilunturkan pula dengan tohmahan orang sekeliling. Lantas lantaran dek mengenangkan kata-kata perlian & kejian yang bakal dilalui. Tambahan pula diri dilahirkan dalam keluarga yang 'biasa-biasa' sahaja penerapan & pelaksanaan agamanya, diri terkenang pula apa kata keluarga jika tiba-tiba berubah penampilan kelak.

Situasi ini kerap kali melanda hati, diri yang baru 'dipanggil' pulang oleh Allah. Respon bagi panggilan tersebut ada 3;

1) Ramai di antara hamba-hamba yang diuji Allah ini berjaya melalui liku-liku tersebut dengan sabar & tabah sebelum istiqomah menyarungkan tudung labuh. Alhamdulillah. 

2) Namun, ramai juga yang cuma separuh jalan menyahut panggilan Hidayah Allah lantaran memikirkan kata-kata orang & keluarga. Ramai juga meninggalkan penampilan tudung labuh kerana kembali 'terpikat' dengan keduniaan seperti terpengaruh dengan fesyen, takut tidak bertemu jodoh ataupun kerana menggunakan alasan susah mencari pekerjaan dengan pakaian tersebut.

3) Ramai juga yang langsung tidak mengendahkan ketukan Hidayah Allah yang dibiarkan berlalu sepi. Mereka ini terlepas peluang keemasan apabila menyangka Hidayah itu boleh dibeli dan akan tiba hanya dengan menanti.

Kepada sahabat-sahabat, adik-adik serta kakak-kakak yang dikasihi Allah, pilihlah untuk menjadi hamba-hambaNya seperti respon yang pertama,

Renungilah firman Allah; 
"Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk; (Iaitu) mereka yang percaya dengan yakin bahawa mereka akan menemui Tuhan mereka, dan bahawa mereka akan kembali kepadaNya."  [surah 2; al-Baqarah; ayat 45-46]

Kuatkanlah hati. Kuatkan semangat. Berbanyaklah berdoa kepada Allah agar ditetapkan hati untuk melalui jalanNya ini. Bukan calang-calang orang yang terpilih untuk memiliki HidayahNya. Bersyukurlah jika kita di antara insan-insan yang terpilih untuk kembali kepadaNya.

Sesungguhnya, biar kita hilang 'seseorang' atau 'sesuatu' demi Allah. Daripada demi 'seseorang' & 'sesuatu' kita kehilangan Allah. Nauzubillah.

Apabila hati tiba-tiba terasa insaf dan ingin kembali, namun, masih keliru apa yang perlu dilakukan.

Mungkin TIPS-TIPS AWAL di bawah ini dapat membantu untuk memulakan langkah;

1) Mulakan dengan memakai stokin kaki & sarung lengan. Biasakan memakai baju yang longgar dan melepasi punggung. Tukarkan penggunaan seluar jeans dengan seluar slack yang longgar. 
2) Cari & sertailah kumpulan usrah yang benar. yakni yang diyakini agama naqibah (ketua usrah) nya serta hala tujunya selari dengan syariat. insyaAllah.
3) Perhebatkan langkah menyertai majlis-majlis ilmu seperti kuliah maghrib di Masjid, ceramah-ceramah oleh ustaz/ustazah untuk menambah input dalam diri. InsyaAllah, akan bertemu sahabat-sahabat baru yang baik di majlis-majlis tersebut.
4) Bersungguh-sungguh memperbaiki ibadah-ibadah asas seperti solat, puasa & sebagainya. Boleh rujuk ustaz/ustazah, sahabat2 yang diyakini agama, kitab-kitab fardu ain, ataupun mendengar ceramah-ceramah online (kalau boleh, semua ini seiring).
5) Perbanyakkan membaca al-Quran & mentadabbur (mengkaji) maknanya. Tidak ada gunanya pembacaan al-Quran tanpa memahami isinya. Milikilah tafsir mini sebagai teman karib. :)
6) Apabila hati sudah semakin kuat, yakni semakin sudah yakin dengan pilihan yang dibuat (untuk berhijrah lillahi taala) maka, perlahan-lahanlah mulakan langkah untuk memperbaiki penampilan. Mulalah memakai baju yang menutupi peha (mencecah lutut). Paling popular, T-shirt Muslimah. Namun, hati-hati, seeloknya pastikan ukurannya mencecah lutut kerana T-shirt yang tidak menutupi peha berpotensi untuk menampakkan bentuk peha jika dipakai dengan seluar.
7) Mulakan dengan memakai tudung bidang 50 (melepasi bahu). Pinkan secara lurus. Kalau dipinkan silang ke dada, kelihatan agak singkat. Kebiasaannya muslimah memilih untuk memakai Tudung Turki atau Tudung Mesir.


contoh 1: Tudung Akel bidang 50.


Contoh 2: Pashmina (selendang menutupi dada & tidak jarang)

8) Setelah semakin selesa, mulalah memakai pula tudung Tudung Turki/Mesir/Bawal bidang 60. Tudung jenis ini kebiasaannya labuh mencecah siku & menutupi punggung. Sebenarnya, tudung jenis ini pun sudah memadai untuk menutupi aurat dengan sempurna. Namun, agak renyah sebab penggunaan pin.. ( kalau tudung jahit terus sarung je. lagi mudah kan? ) ^ ^


contoh Tudung Turki jenama Akel bidang 60.


9) Dalam pada berusaha menjaga penampilan, langkah 1-6 masih dipraktikkan dengan istiqomah (berterusan). Iman ditingkatkan, ibadah diperhebatkan, akhlak dipermantapkan. insyaAllah.
10) Kemudian, setelah bersedia untuk memakai tudung labuh berjahit, bolehlah mulakan dengan berselang-seli dengan Tudung Turki/Mesir bidang 60 sebelum istiqomah dengan tudung labuh berjahit. Serta kurangkan pemakaian seluar serta mengantikannya dengan memakai kain. Memakai t-shirt muslimah dengan kain tidak ada salahnya. Bahkan lebih manis dipandang mata. :)


contoh tudung labuh berjahit. Kain jenis koshibo.


CUBALAH dahulu. InsyaAllah, sekali cuba... masyaAllah, perasaan kali pertama itu terasa sangat indah sekali. Terasa sangat selamat, terasa Allah berasa sangat dekat. Subhanallah! Jika kita ikhlas berhijrah & memakai tudung labuh dengan niat untuk mendapatkan keredhaan Allah, insyaAllah Dia akan membantu mempermudahi jalan kita. 

Secara tidak langsung, akhlak kita juga seakan terpelihara sebagaimana terpeliharanya maruah kita dilindungi kelabuhan tudung yang dipakai. Kita akan jadi segan untuk berakhlak buruk & melakukan kemungkaran.  

Sebenarnya, boleh sahaja kalau hendak terus memakai tudung labuh. Namun, seeloknya, kita mulakan secara perlahan-lahan agar diri lebih yakin & bersedia. Tidaklah nanti perubahan itu terlalu drastik & takut diri tidak dapat mengadaptasi dengan penampilan baru itu. Cepat atau lambat, yang penting, perubahan itu ikhlas & istiqomah. Jadi, banyak-banyakkan berdoa agar Allah mempermudahi jalan kita untuk meraih redhaNya.  

Firman Allah swt; "Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka...." [surah 24, an-Nur; ayat 31]

Kuatkan semangat, kuatkan semangat, kuatkan semangat serta mohonlah kekuatan daripada Allah. Sesungguhnya tidak salah berubah jika perubahan itu ke arah kebaikan & mendekatkan jarak kita dengan Allah. Yakinlah bahawa Allah akan menganjarkan kebaikan kepada kita di atas pengorbanan kita.


Firman Allah swt;
"Dan barangsiapa yang berjihad (melakukan kebaikan), maka sesungguhnya jihadnya itu adalah untuk dirinya sendiri. Sungguh, Allah Maha Kaya (tidak memerlukan sesuatu) dari seluruh alam." [surah 29; al-ankabut; ayat 6]




"Sesungguhnya dunia itu adalah perhiasan & seindah hiasan dunia adalah wanita yang solehah." [HR Bukhari & Muslim]


Teruskan mencari, belajar & berusaha untuk memperbaiki diri. :) Sesungguhnya, antum bukanlah keseorangan kerana Allah sentiasa ada di sisi kita.

Semoga bermanfaat, insyaAllah.

Salam Maal Hijrah. Taqaballahu minna wa minkum. 
 
Allahu 'alam.


p/s: Melalui pengalaman saya sendiri, saya mencintai penghijrahan saya. Malah, tips-tips di atas ditulis berdasarkan pengalaman saya sendiri. Alhamdulillah, saya bersyukur Allah kuatkan hati saya untuk tetap di jalan ini. Malah, sejak penghijrahan saya, saya berasa lebih tenang & gembira. 

Tak dinafikan memang banyak ujian & cabaran. Namun, Alhamdulillah, Allah mempermudahi semua kesukaran yang saya hadapi.  

Saya berdoa semoga Allah menggerak & menguatkan hati sahabat2, adik2 serta kakak2 yang saya kasihi kerana Allah semua untuk turut berhijrah kembali kepadaNya & merasai keindahan rasa menutup aurat dengan sempurna. insyaAllah :)

Moga diberkati Allah sis..
♥  http://syauqahwardah1209.blogspot.com(sumber asal)

No comments: