Assalamualaikum wbt. ^_^
sumber
Artikel ini ditulis betul-betul selepas saya menonton satu video di YouTube, tentang tiga orang bintang bola sepak Muslim yang sedang berada di puncak karier mereka bersama kelab bola sepak Newcastle United; Papiss Demba Cisse, Demba Ba dan Hatem Ben Arfa.
Saya tertarik untuk bercerita tentang mereka, kerana bagi saya, ketiga-tiga individu ini banyak memberi inspirasi kepada saya dan kepada peminat sukan bola sepak di seluruh dunia, terutamanya mereka yang beragama Islam.
Dalam beberapa aksi meraikan gol, Papiss Cisse dan Demba Ba sering meraikan kejayaan mereka menyumbangkan gol kepada pasukan dengan cara melakukan sujud syukur. Ia menjadi suatu tarikan di mana ramai orang mula bercakap-cakap tentang pemain beragama islam.
“Eh, ada juga muslim yang hebat main bola ya?”
Tapi pada saya, mereka bukan sahaja hebat menendang bola, tetapi juga hebat memperagakan kecintaan mereka kepada agama ini.
Kita semua tahu bahawa mereka sedang bermain untuk kelab yang besar, yang berpangkalan di UK. Di sana, agama islam ialah minoriti. Penganutnya masih jatuh dalam kelompok yang kecil, bahkan tidak dinafikan wujud lagi sentimen-sentimen dan isu agama yang timbul, dengan seruan-seruan untuk membenci Islam masih lagi membara walaupun usaha demi usaha dilakukan untuk mewujudkan keharmonian dan kesejahteraan antara umat islam di sana dengan alam.
Keberadaan dua figur ini ternyata menambah baikkan hubungan yang runcing ini. Mereka, para pemain bola sepak muslim bertindak sebagai agen pemangkin yang membantu proses keharmonian ini.
“Setakat sujud saja, apalah sangat!”
Bukan seorang dua yang memperlekehkan tindakan berani dua orang wira kelab Newcastle United ini. Baiklah, mari sama-sama kita lihat pada sebuah ayat al-Quran dalam surah al-Qasas ayat 77:
“Dan carilah pahala akhirat dengan apa-apa yang telah Allah berikan kepadamu di dunia”Allah SWT berikan kita kemahiran yang pelbagai. Ada yang hebat bersyarah. Contoh, Imam Hassan al-Banna. Bicaranya memukau. Hujahnya mantap. Tidak sedikit manusia yang terbuka hijab mereka, lantas cahaya iman menusuk masuk, memanahi hati-hati mereka.
Yang terdampar di tebing binasa, bangun menuju puncak cahaya. Kurniaan Allah kepada beliau berupa seni berpidato ini ternyata digunakan dengan optimum, dan bakal menjadi satu lombong pahala buat Imam Hassan al-Banna.
Ada pula orang yang Allah SWT beri kelebihan menulis. Contohnya, Harun Yahya. Karya-karya beliau sentiasa segar, bertenaga, penuh nilai intelektual dan hebat. Tidak sedikit manusia yang berjaya melihat cahaya Islam, hasil pembacaan dan penelitian mereka terhadap karya Harun Yahya. InshaAllah, seni menulis itu bakal menjadi aset berharga yang akan dia bawa bertemu Ilahi.
Ada juga yang pandai melukis. Jika saya boleh beri satu nama, saya akan sebut nama Nik. Saya tak mengenali individu ini, tapi saya mengenali lukisan-lukisannya bermula dengan majalah Ujang keluaran Moy, dan kini, beliau melukis karikatur-karikatur yang membawa mesej keagamaan. Golongan remaja yang menyukai suatu yang berbentuk visual, ternyata mudah terpikat. Sedikit sebanyak, mereka mendekati agama ini hasil lukisan seorang kartunis.
Begitulah juga dengan main bola sepak. Ada orang yang memang Allah SWT anugerahkannya sepasang kaki yang lincah. Mereka boleh menggelecek bola, dan boleh melepaskan tendangan yang padu. Antara orang-orang itu ialah Papiss Cisse, Demba Ba dan Ben Arfa.
Dan mereka bertiga sedang menjalankan dakwah, di padang bola sepak!
Mereka melakukan sujud syukur, sebagai lambang kesyukuran mereka. Ini ialah satu dakwah yang tidak langsung, di mana mereka memperagakan prinsip di dalam islam. Apa dia?
“Ingat Allah dalam setiap gerak langkah kita!”
Di saat berjaya menjaringkan gol, ucapan syukur ialah suatu yang paling patut meniti di bibir kita. Bukan sekadar itu, syukur juga dizahirkan dalam tindakan. Bersujud ialah salah satunya.
Melalui watak-watak di atas padang ini, dunia melihat islam itu sebagai agama yang tidak terpisah pada tempat. Walaupun di atas padang, orang islam tetap perlu beragama islam. Tidak hanya di bawah lindungan kubah masjid dan tidak juga di atas tikar sejadah.
Islam ada di mana-mana, sehingga di atas padang!
Keberanian dua orang pemain ini melakukan sujud syukur, sebagai pengenalan bahawa mereka ialah muslim, mengingatkan saya pada satu ayat di dalam al-Quran pada surah al-Maidah ayat 54;
“Wahai orang-orang yang beriman! Sesiapa di antara kamu berpaling daripada agamanya (jadi murtad), maka Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Ia kasihkan mereka dan mereka juga kasihkan Dia; mereka pula bersifat lemah-lembut terhadap orang-orang yang beriman dan berlaku tegas gagah terhadap orang-orang kafir, mereka berjuang dengan bersungguh-sungguh pada jalan Allah, dan mereka tidak takut kepada celaan orang yang mencela. Yang demikian itu adalah limpah kurnia Allah yang diberikanNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya; kerana Allah Maha Luas limpah kurniaNya, lagi Meliputi PengetahuanNya.”
Mereka benar-benar tidak takut pada celaan orang-orang yang mencela!
Sebenarnya, selain daripada Papiss Cisse, Demba Ba dan Hatem Ben Arfa, seorang lagi pemain bola sepak yang berbangga dengan Islam dan menjaga prinsipnya, ialah Yaya Toure. Dia ialah pemain bintang dalam kelab Manchester City, yang mana kelab inilah yang merangkul kejuaraan Liga Perdana Inggeris.
Dalam satu temubual selepas tamat perlawanan, seorang rakan sepasukan Toure, Joleon Lescott memberi botol arak kepadanya, kononnya sebagai acara sambutan atas kemenangan pasukan mereka. Tapi apa yang Toure kata?
“Kamu simpanlah. Saya seorang muslim. Saya tidak minum!”
Subhanallah. Di depan televisyen, dengan ditonton jutaan manusia, beliau berkata, “Saya seorang muslim. Saya tidak minum!”
Ini secara tak langsung telah mengajar masyarakat dunia bahawa salah satu prinsip Islam ialah menjaga akal, di mana setiap kita diharamkan memakan atau meminum sesuatu yang bakal menumpulkan dan merosakkan akal. Bahkan masyarakat dunia juga maklum, bahawa meneguk arak ialah satu perbuatan yang tidak elok. Jadi, bila seorang muslim menolak minuman keras kerana alasan ia perintah agama, maka orang yang berakal pasti akan sedar bahawa agamanya itu ialah agama yang menyeru kepada kebaikan!
Frederic Kanoute ialah seorang lagi individu muslim yang hebat. Membaca kisahnya sahaja di laman wikipedia membuatkan saya menjadi malu sendiri. Terlalu malu!
Beliau bukan lelaki yang dilahirkan daripada rahim seorang ibu yang beragama Islam. Sebaliknya, Kanoute menjadi muslim ketika usianya 22 tahun. Penyerang bola sepak yang pernah beraksi untuk kelab West Ham United dan Tottenham Hotspurs itu juga sangat menjaga prinsip. Yang haram, ditolak dengan tegas sebagai haram. Dia enggan untuk menyarung jersi Sevilla kerana ketika itu, tertera dengan jelas di depan jersi itu tulisan 888.com yang mana itu ialah laman sesawang perjudian.
Enggan mempromosikan judi, dia berkeras tidak mahu menyarung jersi itu lalu pihak pengurusan terpaksa akur dengan membenarkan dia menyarung jersi yang tidak ditampal dengan tulisan-tulisan yang menyentuh sensitiviti umat islam.
Beliau juga menghabiskan banyak wang untuk islam. Antaranya, beliau membeli sebuah masjid di Sepanyol dengan duitnya sendiri, kerana kerajaan Sepanyol mahu menjual masjid itu. Semoga Allah SWT membalas setiap helaian wang kertas yang dikeluarkannya dengan balasan yang berganda-ganda dari sisiNya.
Kanoute terkenal sebagai seorang pemain yang sangat tenang. Dikasari di tengah padang pun, dia tidak melenting. Tidak pula dia memaki hamun seperti pemain bola sepak lain. Tapi ada satu insiden, peminat Sevilla bingung. Pelik, apabila hero mereka yang seringkali tampil tenang dan bersahaja di tengah padang, berang dan hampir bergaduh dengan pemain pihak lawan, Cesc Fabregas. Selepas diselidiki, rupa-rupanya bekas kapten Arsenal itu telah mengeluarkan kata-kata kesat. Bukan lagi mengeji atau memaki hamun Kanoute, sebaliknya menghina agama Islam!
Kita lihat betapa izzah dan cintanya beliau dengan agama ini. Seorang yang sabar dengan caci maki, tetapi sangat defensif bila agamanya dihina orang!
Kita bagaimana? Bukan sedikit ikhwah yang pakai jersi bola sepak yang di depannya, besar tulisan Carlsberg. Tak ada sensitiviti. Tak ada izzah.
Bahkan bukan sedikit kita yang marah bila Melayu dihina, tetapi bila agama islam dihina, diam pula macam tikus!
Satu lagi ikhtibar daripada Kanoute, di saat masyarakat dunia buta daripada melihat kekejaman Zionis terhadap rakyat Palestin, Kanoute menyarung baju yang tertulis perkataan “Palestine” yang mana perbuatannya itu berjaya menarik perhatian dunia terhadap kekejaman Zionis.
Orang yang tak tahu, tiba-tiba jadi tahu. Manakala orang yang sudah tahu, bertambah peduli dan simpati.
Saudaraku, benar kita bukan hebat main bola sepak. Sepak bola pun kadang-kadang entah ke mana-mana perginya bola tu. Tapi ini bukan artikel tentang bola. Tidak. Tapi ini satu cerita tentang dakwah.
Kita maklum bahawa dakwah ialah suatu yang wajib. Walaupun dengan mata pedang hinggalah kepada mata pena, dakwah tetap ada tempatnya di dalam agama ini.
Dan dakwah yang paling terang, ialah melalui akhlak.
Pemain bola sepak Islam ini memperagakan islam di padang bola. Kita, doktor muslim juga boleh memperagakan islam di bilik bedah. Seorang jurutera boleh memperagakan Islam di tapak pembinaan. Seorang saintis boleh memperagakan Islam di makmal. Seorang pegawai bank boleh juga memperagakan Islam di dalam bank. Seorang guru juga, memperagakan islam di dalam bilik darjah.
Kita ini sudut masing-masing. Buat yang boleh berdakwah dengan bersyarah, silakan. Biarkan suara kita didengari hingga ke kaki langit. Buat yang mampu menulis, izinkan jari anda menari selincahnya. Biarkan tulisan kita dibaca hingga ke zaman cucu cicit kita.
Tapi jika tak mampu bercakap, tak mampu menulis, jangan sempitkan peluang dakwah anda. Lihat kepada Papiss Cisse dan Demba Ba. Di tengah padang pun mereka memperkenalkan islam kepada 99.99% penonton yang bukan islam. Kita, bukankah ada lapangan kita sendiri?
# Sungguh aku terpana dengan dakwah mereka.
No comments:
Post a Comment