Saturday 14 January 2017

ADA APA DENGAN 'ENGINEER' ?




ADA APA DENGAN ENGINEER?

Oleh: Muhtar Suhaili As-Sarawaki



Alhamdulillah, sedar tidak sedar tahun 2016 ini sudah hampir 11 tahun saya bergelar jurutera/ engineer/ muhandis iaitu selama setahun sebulan di Perodua Manufacturing Sdn. Bhd. (18 April 2005 – 26 Mei 2006) dan sehingga kini bermula dari 5 Jun 2006 sudah hampir 10 tahun berkhidmat sebagai Engineer di Shell Malaysia Exploration & Production (SMEP). Terlalu banyak pengalaman, suka duka dan ilmu diperolehi melalui profesion ini yang telah lebih mematangkan diri dan mendewasakan pemikiran.


Suka untuk saya kongsikan dengan sahabat dan kenalan sekalian satu kenyataan yang sesungguhnya menggugah minda, menyentuh rasa dan wajarnya saya fikir-renungkan sesuai dengan posisi jawatan dan dunia kerjaya saya sebagai jurutera ketika ini. Kenyataan tersebut merupakan satu catatan seorang mahasiswa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berasal dari Singapura yang dicatatkan di dalam blog beliau ‘My Little Fairyland’ bertarikh 6 April 2005 sepertimana berikut:


“My ex-president of Students Representative Council IIUM, Bro Mukhtar Suhaili once had said: “..IIUM not only produce good engineer but a good Muslim engineer!”


Benar, sesungguhnya tujuan setiap Muslim mengikuti pengajian di bidang kejuruteraan di universiti atau mana-mana Institusi Pengajian Tinggi (IPTA atau IPTS) ialah agar akhirnya selepas bergraduat mereka mampu menjadi Muhandis Bertaqwa, iaitu jurutera professional mahir yang berjiwa agama. Mereka merupakan seorang yang komited menjalankan fungsinya sebagai jurutera dalam apa jua industri yang diceburi, dan pada fungsi yang serupa mereka sentiasa menghayati peranannya sebagai seorang ‘abdi kepada Allah SWT.


Pada hari pertama mendaftar kerja di Pejabat Perodua di Rawang, disebabkan tiada urusan kerja yang perlu dilakukan selain diperkenalkan dengan rakan sepejabat, saya telah beroleh ilham untuk menghasilkan sebuah puisi seperti berikut sebagai luahan rasa dan taujihat buat diri dalam menjalani hari-hari depan sebagai seorang jurutera atau di dalam bahasa Arabnya Muhandis.


Semoga kita beroleh manfaat bersama dan mudah-mudahan ada kebaikannya buat semua. Allahumma Aamiin.



AL-MUHANDIS.. 

Alhamdulillah..
Segala puji bagiMu Ya Allah!
Hari ini tercapailah sudah cita-cita
Impian murni ayah bonda termateri sudah
Ya.. Ana kini seorang muhandis
Biiznillah seorang jurutera Perodua Manufacturing
(Engineer at PVD Department. Staff No.: 707587)

Menjadi muhandis al-an telah jadi nyata
Rencam rasa menyelubungi jiwa sukma
Doaku semoga segalanya khair
Agar mampuku jejaki perjuangan ala Fathi Yakan
Berstatus engineer jua dae’i wa mujahid liridhalLah

Menjadi muhandis itu satu ‘ibadah
Itu yang aku maklum lewat definisi ‘amal
Andai niatmu mencari redhaNya
Dan nawaitumu demi mencari rezeqi halal kurniaanNya
Dalam menikmati setitis rahmat kasih sayangNya

Menjadi muhandis juga upaya iman
Jika bekerja dengan azam mengabdi padaNya
Dengan ikhlas dan amanah menjadi prinsip
Tekun dan cekap menjadi etika usaha
Hingga membenarkan wasilah ikhtiar dan tawakkal

Menjadi muhandis mesti tinggi fikir
Bagaimana kerjaya mampu menjadi zikir
Lalu syukur dalam melorongkan haluan diri
Harus kritis bagaimana dakwah bisa jadi realiti
Dalam ehwal dan bi’ah penuh materialis

Menjadi muhandis kadangnya berkrisis
Bila matlamatnya hubbud dunia semata
Yang dilihat cuma untung dan laba
Hingga kadangnya hidup menjadi tiada nilai
Lalu sembrono memusnah dengan teknologi

Ya Allah..
Anta maqsudi wa ridhaka matlubi
Maka jadikanlah aku muhandis bertaqwa
Yang tidak terfana’ dengan rakusnya nafsu serakah
Jua tidak kan hanyut dengan tipuan bak fatamorgana
Biarlah wasatiyyah mampu menjadi sebahagian akhlaqku
Supaya memberi manfaat buat diri dan ummah seluruhnya

Agar akhirnya..
Dunia dan Akhiratku kedua-duanya terbela!

MUHTAR SUHAILI
Perodua Office, Rawang
18 April 2005, 12.25pm. 

.
.
.
Semoga puisi ini terus menjadi pesan bermakna buat saya dan jurutera-jurutera Muslim lainnya. Semoga kita semua mampu menjadi jurutera yang cemerlang di dalam melaksanakan kerja dan dalam masa yang sama sentiasa ingat dan tahu tentang tanggungjawab kita sebagai Muslim dan Mukmin sejati. Bersamalah kita menjadi jurutera cemerlang dengan memberi khidmat terbaik serta tidak pernah melupai amanah dan tujuan kita dihantar ke atas dunia ini iaitu untuk mengabdikan diri dan beribadah kepada Allah SWT.

Allah SWT berfirman di dalam Surah Adz-Dzariyat ayat 56 yang bermaksud: “Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan hanya untuk mengabdikan diri kepadaKu”.

Maka sentiasalah kita ingat betapa dunia ini merupakan jambatan emas yang menghubungkan kita dengan negeri Akhirat. Contoh teladan yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW, para sahabat radhiyallahu ‘anhum ajma’in dan salafus soleh jelas menunjukkan kepada kita bahawa kehidupan yang cemerlang di dunia tidak menghalang kita daripada mencapai kebahagiaan di negeri Akhirat.

Justeru, bersamalah kita terus bekerja dan berikhtiar mencari keperluan penghidupan di dunia ini seolah-olah kita akan hidup seribu tahun lagi, dan beramal serta beribadahlah seolah-olah kita akan mati esok hari. Di dalam menjalankan tugas sebagai jurutera atau apa jua bidang pekerjaan yang kita lakukan, jadikanlah firman Allah SWT di dalam Surah Al-Qashash ayat 77 berikut sebagai panduan dan falsafah hidup.

Allah SWT berfirman: “Dan carilah apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu (kebahagiaan) negeri Akhirat, dan janganlah kamu melupakan bahagianmu dari (kenikmatan) duniawi dan berbuat baiklah (kepada orang lain) sebagaimana Allah telah berbuat baik kepadamu, dan janganlah kamu berbuat kerosakan di (muka) bumi. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berbuat kerosakan”.

Ketahuilah betapa sesungguhnya balasan bagi orang yang bertaqwa tiada lain adalah kebaikan di dunia dan Akhirat. Ya, kedamaian di dunia dan kenikmatan tiada tara di dalam Syurga. Firman Allah SWT di dalam Al-Qur’an Al-Karim: “Dan adapun orang-orang yang takut kepada kebesaran Tuhannya dan menahan diri dari keinginan hawa nafsunya, maka sesungguhnya Syurgalah tempat tinggal(nya)” (Surah An-Nazi’at, ayat 40-41).

FirmanNya lagi: “Untuk orang-orang yang bertaqwa (kepada Allah), pada sisi Tuhan mereka ada Syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai; mereka kekal di dalamnya. Dan (mereka dikurniai) isteri-isteri yang disucikan serta beroleh keredhaan Allah. Dan Allah Maha Melihat akan hamba-hamba-Nya” (Surah Aali ‘Imran, ayat 15).

.
.

Buat akhirnya, bersamalah kita terus menjadi insan yang menjiwai agama serta sentiasa cemerlang dalam segala urusan dunia dan Akhirat. “Dunia, dunia juga.. Tapi Akhirat jangan dilupa!”

Wallahu a’la wa a’lam.

#SemogaKerjayaMenjadiIbadah
#MempersiapGenerasiKemenangan
#BeristiqamahHinggaKemenangan

--------------------------------------------------------

Penulis merupakan AJK PAS Pusat, Bendahari Dewan Pemuda PAS Malaysia dan Setiausaha PAS Negeri Sarawak.

No comments:

Lilypie - Personal pictureLilypie Angel and Memorial tickers